Fahami rahsia sembahyang

Rv3535b_4
    Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Biarpun saya telah menunaikan
haji dan beberapa kali umrah, tetapi kadang-kadang masih tertinggal
sembahyang atau melambat-lambatkan sembahyang. Apakah formula utama
untuk mengatasi masalah ini, lebih-lebih lagi ketika usia semakin
lanjut dan badan tidak sekuat dahulu.

– Umar, Johor.

JAWAPAN: Untuk mengatasi masalah tertinggal atau meninggalkan
sembahyang tidak ada jalan selain daripada menunaikannya apabila tiba
waktunya, tanpa melengah-lengahkannya.

Apabila amalan seperti ini menjadi sebahagian daripada budaya hidup
seseorang, secara automatik seseorang itu akan sembahyang apabila tiba
waktunya. Terasa adanya sesuatu yang tidak sempurna, tidak selesa
berjalan, tidak lena tidur selagi ia belum lagi menyempurnakan
sembahyangnya.

Masalah utama yang seharusnya saudara fikir ialah bagaimana hendak
melahirkan satu rancangan agar seseorang itu berasa bertanggungjawab
apabila tiba waktu sembahyang, iaitu hak yang wajib disempurnakan yang
berkaitan dengan Allah.

Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Sayyib, ia berkata, bahawa Anas bin
Malik dan Ibn Hazm berkata, Rasulullah ada bersabda menyatakan bahawa
Allah telah memfardukan kepada umatku lima puluh solat. Lalu aku pulang
dengan membawa perintah itu, sampai aku melewati Musa bertanya: Apakah
yang difardukan oleh Tuhanmu kepada umatku? Aku menjawab, Tuhan
memerintahkan mereka lima puluh solat. Ia berkata kepadaku. Kembalilah
kepada Tuhanmu Yang Maha Mulia Lagi Maha Besar, kerana umatmu tidak
mampu atas yang demikian itu.

Aku telah kembali kepada Tuhanku, lalu Allah s.w.t. membebaskan
separuh daripadanya. Aku kembali kepada Musa dan memberitahunya. Ia
berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, kerana umatmu sungguh tidak mampu
berbuat demikian.

Aku kembali kepada Tuhanku Yang Maha Mulia lagi Maha Besar. Ia
berfirman: Solat itu lima dan itulah lima puluh. Perkataan itu di
hadapanku tidak diganti. Aku kembali kepada Musa Ia berkata: Kembalilah
kepada Tuhanmu. Aku menjawab: Aku berasa malu kepada Tuhanku Yang Maha
Mulia Lagi Maha Besar. – Hadis ditakhrij oleh An-Nisai.

Keterangan hadis ini, juga banyak hadis lain yang berkaitan
memperlihatkan bahawa sembahyang lima waktu, yang telah diwajibkan ke
atas umat Muhammad itu adalah sesuatu yang berat. Tidak mudah dilakukan
kecuali oleh mereka yang khusyuk, beriman sepenuhnya kepada Allah dan
mengetahui rahsia-rahsia sembahyang.

Sembahyang adalah tiang agama. Orang yang meninggalkan sembahyang, bererti ia telah merobohkan agama yang dianuti.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Qatadah ia berkata bahawa Rasulullah
ada bersabda, Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya
Aku telah memfardukan janji bahawasanya, barangsiapa yang menjaga solat
itu pada waktunya, maka aku masukkan dia ke syurga. Barangsiapa yang
tidak menjaganya maka tidak ada janjiku padanya.

Sesungguhnya Allah mengutuskan para malaikat untuk mencatat
sembahyang yang dilakukan oleh hamba-Nya. Dalam sebuah hadis riwayat
daripada Abu Hurairah ia berkata, telah bersabda Rasulullah: Malaikat
datang silih berganti, iaitu malaikat malam dan malaikat siang dan
mereka berkumpul pada solat subuh juga pada solat asar.

Kemudian naiklah malaikat yang bermalam pada-Mu, lalu Allah
bertanya, padahal Allah lebih mengetahui, bagaimana kamu tinggalkan
hamba-hamba-Ku? Mereka menjawab: Kami tinggalkan mereka dalam keadaan
solat dan kami datang mereka juga sedang solat.

Hadis ini menjelaskan tentang kedatangan malaikat dalam kelompok
setelah satu kelompok yang lain pergi menemui Allah. Menurut sebahagian
ulama, malaikat yang terlibat di sini ialah Malaikat Hafazah, iaitu
malaikat yang menjaga catatan-catatan amalan manusia.

Pertanyaan yang diajukan oleh Allah kepada malaikat berkenaan
memperlihatkan keutamaan Bani Adam yang beriman berbanding dengan
malaikat sendiri, kerana mereka menjawab dengan puji-pujian terhadap
amalan anak Adam. Malaikat menjadi saksi atas amalan baik anak Adam.

Kerana itu kita perlu menjaga sembahyang kita. Di mana amalan kita
itu disaksikan oleh malaikat. Membolehkan kita di antara hamba Allah
yang dipohonkan keampunan oleh para malaikat kepada Allah, dengan doa
yang berikut: Wahai Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala
sesuatu. Maka berilah keampunan kepada orang yang bertaubat dan
mengikut jalan-jalan Engkau dan peliharalah mereka daripada seksa
neraka yang bernyala-nyala.

Wahai Tuhan kami, masukkanlah dalam syurga yang telah engkau
janjikan kepada mereka dan isteri-isteri mereka dan keturunan mereka.
Sesungguhnya Engkau Yang Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana.

Peliharalah mereka daripada balasan kejahatan. Dan orang-orang yang
engkau pelihara dari balasan kejahatan. Dan orang-orang yang engkau
pelihara daripada pembalasan kejahatan pada hari itu. Maka sesungguhnya
Engkau telah anugerahkan rahmat kepadanya. Itulah kemenangan yang besar
(al-Mu’min: 7-9).

Selain memahami rahsia-rahsia sembahyang, termasuk memahami rahsia
khusyuk, saudara juga perlu melakukan sembahyang sunat, sama ada sunat
rawatib ataupun sunat-sunat lain. Dari sini akan lahir kenikmatan
bersembahyang.

Memang sukar bagi kita hendak mendirikan sembahyang sunat,
lebih-lebih lagi kalau sembahyang itu dilakukan bersendirian, kerana
itulah sembahyang berjemaah itu amat dituntut.

Kebanyakan orang menganggap sembahyang sunat itu sebagai enteng,
kerana tidak memahami rahsia-rahsia sembahyang berkenaan. Selain
anggapan bahawa sembahyang sunat itu sebagai tambahan, kaedah
pembelajaran agama juga ada kalanya menyumbang kepada pengabaian
sembahyang tersebut.

Sunat bererti melakukan sesuatu dapat pahala, meninggalkannya tidak
berdosa. Kerana itu sembahyang sunat itu dirasakan kurang perlu
berbanding dengan sembahyang fardu. Kalaulah sembahyang fardu itu
sering ditinggalkan apatah lagi sembahyang sunat. Tidak berdosa kalau
seseorang itu meninggalkannya.

Rasulullah ada bersabda menyatakan bahawa amalan seorang hamba yang
mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat kelak ialah sembahyang.
Andainya solat itu didapati sempurna maka ditulis sempurna. Sekiranya
ada kekurangan sedikit, maka Allah berfirman: Lihatlah apakah ia
mempunyai sembahyang sunat yang akan menyempurnakan sembahyang fardu
yang diabaikan. Kemudian seluruh amalannya dihisab.

Selain daripada melakukan sembahyang sunat rawatib, seseorang itu
perlu juga melakukan sembahyang sunat duha kerana ia amat penting dalam
usaha memperoleh kesempurnaan hidup dan amalan yang dilakukan dalam
hari berkenaan.

Dalam sebuah hadis dari Abu Darda dan Abu Dzarr daripada rasulullah
dari Allah Yang Maha Mulia Lagi Maha Agung, Allah berfirman: Wahai anak
Adam, rukuklah (sembahyanglah) kepada-Ku di awal siang dengan empat
rakaat, maka Aku akan mencukupimu di akhir siang.

Jelasnya sembahyang pada awal waktu itu paling penting dalam usaha
memastikan seseorang itu tidak meninggalkan sembahyang termasuklah
pengetahuan tentang keperluan sembahyang, kedudukan sembahyang
berbanding dengan Rukun Islam yang lain.

Sembahyang waktu memperlihatkan kesempurnaan iman seseorang kerana
ia merupakan amalan yang mulia sekali dihisab pada hari kiamat kelak.
Sekiranya sembahyang seseorang itu diterima, maka amalan-amalan lain
juga diterima.

Sembahyang itu seumpama mudah tetapi mempunyai rahsia yang perlu
difahami dan dihayati. Ia merupakan salah satu Rukun Islam,
kefarduannya terus daripada Allah, membentuk sahsiah manusia unggul,
penghapus dosa di antara sembahyang.

Orang yang meninggalkannya dianggap sebagai fasik. Sembahyang yang
diterima Allah, mencegah pelakunya daripada melakukan kemungkaran,
menghilangkan rasa resah gelisah, menghilangkan sifat tamak dan
sembahyang adalah salah satu ibadah memperoleh ketenangan dalam diri.

- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin
Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab
Luar, 43000 Kajang, Selangor.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

Leave a Reply