Membendung gaya hidup sintetik

Gul2_3
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

DEWASA ini kita sedang menyaksikan pertumbuhan pesat budaya asing
dan gaya hidup sintetik yang sedang menjalar dalam kerangka kehidupan
generasi muda kini. Apa yang dimaksudkan penulis dengan gaya hidup
sintetik ialah suatu budaya tiruan yang cukup asing daripada
nilai-nilai tradisi, akar agama dan citra tempatan yang selama ini
menerasi keperibadian dan pandangan hidup (worldview) Melayu-Islam.

Kecenderungan membudayakan gaya hidup sintetik ini jelas mengakar
dan menjalar dalam bidang-bidang seperti muzik, filem, fesyen dan
pelbagai bentuk cabang hiburan dan seni yang lain. Budaya sintetik yang
berasal dari Barat ini amat memuja nilai rasa pancaindera iaitu
kenikmatan yang dapat ditonton, didengar, disentuh dan dikecap dengan
hanya menumpukan kepada keseronokan dan keselesaan jasmaniah
semata-mata.

Dari situlah timbulnya seni yang berorientasikan keseronokan rakus,
hedonistik melampau, hiburan melulu yang merungkai ikatan agama dan
merobek kawalan moral dan nilai-nilai tradisi. Natijahnya wujud pula
istilah ‘art for art’s sake’ yang menghalalkan sebarang bentuk tindakan
dan perilaku termasuklah unsur-unsur seksual, erotik dan ganas atas
nama memartabatkan seni.

Isu terkini seperti polemik pembotakan kepala artis wanita untuk
memenuhi tuntutan skrip filem merupakan salah satu contoh bagaimana
seni dan hiburan kadangkala dimartabatkan setinggi malah melebihi
kesucian prinsip agama dan tradisi. Semuanya dilakukan atas nama seni
yang pada hakikatnya cukup asing daripada norma-norma keagamaan dan
nilai-nilai tradisi yang selama ini mendasari budaya hidup masyarakat
kita.

 

Kecenderungan para artis memperagakan gaya hidup Barat secara total
juga mampu mempengaruhi muda-mudi untuk turut sama meniru budaya yang
cuba diketengahkan oleh model-model sintetik ini. Ternyata kekuatan
pengaruh penghibur dalam mencorakkan pemikiran, perwatakan dan gaya
hidup muda-mudi hari ini adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

Malah golongan remaja dan kanak-kanak khususnya, cukup mudah
terdorong dengan apa jua bentuk penampilan artis pujaan mereka. Dari
aspek pertuturan dan perawakan hinggalah kepada fesyen rambut, gaya dan
pakaian.

Keghairahan membudayakan gaya hidup sintetik ini akan menyebabkan
lahirnya generasi sintetik yang hilang jati diri dan tidak lagi
mengendahkan batasan halal dan haram dalam agama. Seringkali juga
prinsip agama bagaikan diperkotak-katikkan dan ditanggapi sebagai
halangan kepada pembangunan seni dan industri hiburan tanahair.

Lebih menyedihkan apabila media massa tempatan juga berperanan dalam
aktiviti penyebaran dan perkembangan budaya sintetik yang membinasakan
ini. Iklan-iklan yang dipaparkan dalam pelbagai media turut merangsang
ke arah kehidupan rakus, foya- foya dan bermewah-mewah yang hakikatnya
cukup asing dari pola gaya hidup tradisi umat kita.

Perkembangan seni dan budaya seperti ini pada hakikatnya sudah
terlepas dari kawalan dasar-dasar rasmi yang telah disepakati seperti
falsafah agama, rukun negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Sebaliknya pertumbuhan seni dan pembangunan budaya negara tampak lebih
banyak dicorakkan dan didorong oleh kepentingan ekonomi dan perkiraan
untung rugi.

Para artis kita umpamanya rata-rata telah terlepas dari bimbingan
intelektual dan akal budi keagamaan hingga menuruti sahaja kemahuan
penaja, promoter, penerbit mahupun pengarah yang dasar perhitungannya
adalah untung rugi ekonomi. Malah persaingan sengit stesen-stesen
televisyen menganjurkan program-program hiburan beraneka ragam lebih
banyak berorientasikan kepentingan ekonomi daripada kepentingan
membangunkan generasi muda yang bermaruah dan merdeka.

Fenomena seperti ini jika dibiarkan berlarutan mampu melunturkan
citra budaya dan keperibadian bangsa. Penat lelah generasi terdahulu
merangka dan merumuskan dasar kebudayaan kebangsaan yang bercirikan
keperibumian dan keislaman bagaikan tidak punya makna dan harga.

 

Justeru sudah tiba masanya pihak berwajib memandang serius masalah
pembudayaan gaya hidup sintetik yang semakin membelenggui pemikiran dan
perawakan generasi muda kini. Krisis budaya dan kegersangan nilai dalam
industri hiburan tanah air memerlukan penyelesaian yang berupa
perancangan dan pengarahan budaya secara menyeluruh sesuai dengan
wawasan dan citra ummah.

Ini termasuklah melakukan usaha bersepadu, terancang dan tersusun
untuk melatih dan membimbing artis-artis agar akhlak dan peribadi
mereka juga sentiasa terkawal dan menjadi idola yang baik kepada
khalayak. Pelbagai insentif juga boleh diperkenalkan sebagai satu usaha
menggalakkan artis-artis tempatan berwatak luhur dan berkeperibadian
mulia.

Media massa juga wajar berperanan dengan lebih proaktif dalam
menampilkan artis secara positif dan konstruktif seperti menjadikan
mereka agen moral yang mampu mempengaruhi generasi muda. Seharusnya
usaha membina budaya bangsa berteraskan agama dan nilai-nilai tradisi
yang unik tidak lagi terikat cuma berdasarkan perkiraan untung- rugi
ekonomi semata-mata.

Sebaliknya usaha memperkasa budaya bangsa menuntut ketulusan dan
kesediaan semua pihak untuk sama-sama menggalas tanggungjawab
mempertahankan khazanah bangsa yang tidak ternilai ini.

Apa yang harus dikhuatiri ialah kelewatan melaksanakan tanggungjawab
ini akan semakin mendekatkan kita kepada bencana total sebagaimana yang
diperingatkan Allah dalam al-Quran: Dan jika Kami hendak membinasakan
sesuatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hiduo
mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan
kedurhakaan di negeri itu, maka sudah sewajarnya berlaku terhadapnya
perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu
sehancur-hancurnya. (al-Isra:16).

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Leave a Reply