Peri pentingnya mentaati umarak

Ra099_1
Oleh: MOHD SHAUKI ABD MAJID

SUDAH sewajarnya seseorang Muslim perlu mengetahui dan memahami cara
bermuamalah dengan penguasa (pemerintah). Berdasarkan kepada panduan
agama, para ulama bersepakat akan kewajipan taat kepada penguasa yang
ada, baik bagi seorang imam (pemimpin) yang berkuasa terhadap seluruh
negeri bagi kaum Muslimin atau ramai pemimpin yang menguasai
negeri-negeri tertentu.

Dalam konteks sesebuah negara yang stabil, maka setiap orang yang
berada di bawah kekuasaannya adalah wajib meyakini bahawa penguasa
(pemerintah) berhak dibai‘at oleh mereka. Ini merupakan kewajipan
syariat. Orang yang tidak meyakini kewajipan bai‘at kepada penguasa di
negerinya yang menjadi kewajipannya ia terancam dengan ancaman yang
keras. Berhubung perkara ini Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang
bermaksud: Barangsiapa melepaskan ketaatan (daripada penguasa), nescaya
akan menemui Allah tanpa memiliki hujah (alasan). Dan barangsiapa
meninggal tanpa ikatan bai‘at, maka kematiannya (seperti) kematian
jahiliah (riwayat Muslim).

Dan harus diingatkan bahawa bai‘at kepada penguasa bukan seperti
kalung yang boleh diletakkan dan ditanggalkan sesuka hati; jika ia suka
dipakainya, dan apabila tidak suka ditanggalkan. Tetapi kewajipan
bai‘at tetap berlaku selagi kekuasaan penguasa masih ada atau bertapak
di negeri tersebut. Seseorang Muslim tidak boleh menarik diri daripada
bai‘at ini.

Dasar kedua yang perlu dipatuhi terhadap pemerintah ialah mengenai
bagaimana cara pendekatan yang harus diambil dalam menasihati
pemerintah kerana mereka adalah manusia yang berhak menerima
penghormatan daripada seluruh rakyat jelata. Islam menyarankan umatnya
menjauhi sikap khuruj (memberontak, penderhakaan atau lain-lain cara
penentangan yang salah). Adanya kesalahan pada diri pemimpin, bukan
pula bermakna kita boleh memijak kehormatan mereka. Kita disyariatkan
untuk menasihat dan menjelaskan kesalahan mereka dengan cara-cara yang
betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan oleh agama. Perbuatan
menegur dengan cara penderhakaan atau caci maki akan menimbulkan rasa
benci dan marah di kalangan rakyat yang cintakan keamanan. Teguran yang
membina terhadap pemerintah adalah teguran dan nasihat yang ikhlas,
bukan perasaan hasad dengki atau berbentuk meruntuhkan segala apa yang
ada di hadapannya tanpa mengira buruk baiknya atau untung ruginya.

Oleh kerana pemerintah tidak selalunya benar dan tidak mencapai
darjat maksum, maka mereka yang ingin menasihatinya atau memperbetulkan
kesilapannya perlulah mengikut mekanisme yang dibenarkan oleh syariat.
Ini sesuai dengan panduan Rasulullah sebagaimana sabda baginda
bermaksud: Sesungguhnya Allah s.w.t. meredai untuk kamu tiga perkara,
antaranya kamu menasihati mereka yang diangkat untuk menjaga urusan
kamu (riwayat Ahmad).

Sesunguhnya Allah meredai di kalangan hamba-Nya yang dapat
menasihati pemimpin supaya bersikap jujur dan perlulah bermuamalah
dengan menjelaskan mana-mana kesalahannya melalui cara yang dibenarkan
oleh syariat. Berhubung perkara ini, Rasulullah pernah mengingatkan
umat baginda mengenai tiga perkara penting yang hati orang mukmin tidak
sanggup untuk berlaku curang apabila melakukannya.

Pertama, ikhlas beramal kepada Allah, kedua, dalam menasihati pemerintah, dan ketiga, dalam kesetiaan terhadap jemaah.

Tiga hal ini sepatutnya menjadi panduan bagi mukmin agar tidak
mengkhianatinya, iaitu dalam melakukan ibadat dan semua urusan
terutamanya semata-mata hanya kerana Allah. Perkara ini penting untuk
dipraktikkan ketika ingin menasihati pemerintah dan hendaklah diasaskan
di atas rasa kasih sayang, ikhlas dan demi memperoleh keredaan-Nya
semata-mata, bukan kerana sebarang kepentingan yang lain. Di atas
keikhlasan itulah menyebabkan mukmin seharusnya tidak sanggup keluar
daripada ikatan taat setia kepada pemerintah, malah sentiasa mendekati
bersama kumpulan jemaah pemerintah (ulil amri) tersebut. Berhubung
perkara menasihati pemerintah ini, Nabi Muhammad bersabda yang
bermaksud: Sesiapa ingin menasihati sultan (pemerintah) dengan sebarang
urusan, janganlah menampilkan kepadanya secara terang-terangan.Tetapi
hendaklah memegang tangannya, lalu dibawa ke suatu tempat yang
tersembunyi (pada masa itu bolehlah dia menasihatinya secara
berseorangan dan jika nasihatnya diterima, maka itulah yang
sebaik-baiknya dan kalau tidak, maka dia sudah pun menunaikan
tanggungjawabnya sendiri (riwayat Tarmizi).

Daripada hadis tersebut dapatlah difahami bahawa sesiapa yang ingin
menasihati sultan (raja) atau pemerintah, tidak harus secara terbuka
atau di hadapan umum secara terang-terangan atau di atas pentas di
tengah- tengah perhimpunan umum. Demikianlah ajaran yang dipesan oleh
Rasulullah. Bagaimanapun, ramai yang lupa kerana keghairahan ingin
menonjolkan sebagai jaguh masyarakat di samping bertujuan menarik
perhatian ramai supaya disanjung atau dipilih sebagai ketua.

Prinsip ketiga ialah kita harus mendengar dan taat kepada penguasa
pada perkara yang bukan maksiat kepada Allah. Tidak ada kebaikan bagi
masyarakat kecuali dengan jemaah. Dan urusan jemaah tidak akan berjalan
lancar melainkan dengan adanya ‘imamah’ (kepimpinan). Dan tidak akan
lurus atau bergerak lancar sesuatu kepimpinan kecuali dengan ketaatan.
Dalam hal ini Nabi Muhammad menegaskan dalam suatu hadis yang
bermaksud: Barangsiapa taat kepadaku, sungguhlah ia taat kepada Allah.
Barangsiapa bermaksiat (melakukan kesalahan dari sisi agama) kepadaku,
sungguhlah ia telah bermaksiat kepada Allah. Barangsiapa taat kepada
Amir (penguasa), sungguhlah ia taat kepadaku. Dan barangsiapa yang
bermaksiat kepada Amir, sungguhlah ia bermaksiat kepadaku (riwayat
Bukhari).

Rasulullah pernah ditanya, apakah harus kita memerangi mereka
(pemerintah) yang melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat
dengan pedang atau menggunakan sebarang kekerasan. Nabi menjawab
menerusi sabda baginda yang bermaksud: Tidak, selama ia menegakkan
(menunaikan) solat dengan kamu. Ketahuilah, orang yang dikuasai oleh
seorang penguasa, dan melihatnya mengerjakan maksiat kepada Allah,
hendaknya ia membenci maksiat kepada Allah yang dilakukannya itu dan
tetap tidak melepaskan ketaatan kepadanya (riwayat Muslim).

Meskipun apa yang diperintah atau dilaksanakan oleh umarak tidak
menyenangkan hati kita, kita tidak sepatutnya menentang atau tidak mahu
menerimanya selagi apa yang diperintah dan dilaksanakan itu tidak
bertentangan dengan al-Quran dan Sunah. Ini ditegaskan oleh Rasulullah
menerusi sabda baginda yang bermaksud: Seseorang Muslim wajib
memperkenankan (menerima) dan taat berkaitan apa sahaja (yang
diperintahkan oleh ulil amri), suka atau tidak suka. Tetapi apabila ia
(orang Muslim) diperintahkan berbuat maksiat, maka ketika itu tidak
boleh diperkenankan (diterima), tidak juga taat (riwayat Bukhari dan
Muslim).

Perhatikan bagaimana perseimbangan yang indah ini jika berlaku
kepincangan di mana-mana, tentu kita tidak menyukainya kerana Allah
tidak memerintah dengan perkara fahsya dan juga mungkar dan tetap
menegaskan kepadanya bahawa perkara tersebut adalah tetap dilarang
keras dalam agama dan perlu dijauhi dan ditinggalkan tanpa sebarang
kompromi lagi. Ia bermakna, perlu dipisahkan antara amalan jahat
pemerintah dan perbuatannya, barulah tindakan kita akan seimbang dan
adil serta ada batasannya. Tidaklah sampai rakyat akan membenci dan
memusuhi pemerintah. Dan prinsip yang keempat ialah kita tidak harus
sewenang-wenangnya ‘mengkafirkan’ penguasa Muslim. Takfir merupakan hak
Allah, tidak boleh dilontarkan begitu sahaja atau sewenang-wenangnya
kepada orang tertentu kecuali kepada orang yang berhak dikafirkan
dengan bersandarkan syariat.

Oleh hal yang demikian itu, adalah menjadi hak kita untuk mentaati
umarak (pemerintah). Meskipun terdapat kecacatan atau kesalahan yang
dilakukan oleh mereka, namun kita tidak harus menghukumnya dengan cara
penderhakaan yang ditegah oleh syariat Islam. Adalah penting bagi kita
untuk memahami cara bermuamalah dengan umarak bagi meluruskan sesuatu
perkara atau keadaan yang telah bengkok akibat perbuatan atau
tindakannya. Mempraktikkan sikap khuruj bukanlah jalan penyelesaian
yang bijak dan adil.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

Leave a Reply