Frankenstein

Frankenstein_jpg

1.0 Pengenalan

Marry Shelly adalah pengarang novel Frankenstein ini. Beliau telah mengarang novel ini semasa beliau berumur 19 tahun. Marry Shelly dilahirkan di London. Tetapi beliau telah membina cerita novel ini di Switzerland pada tahun 1790. Cerita ini diklasifikasikan sebagai sains fiksyen dan seram. Novel ini mengisahkan di mana seorang saintis yang hebat bernama Victor Frankenstein telah berjaya mencipta manusia daripada gabungan pelbagai bahagian tubuh manusia dan menghidupkannya melalui kuasa elektrik.  Manusia yang dicipta itu digelar sebagai The Monster iaitu pada akhirnya telah memusnahkan hidup Victor Frankenstein sendiri.

2.0 Sinopsis

Cerita

Victor Frankenstein, merupakan anak tertua di dalam keluarga Alphonse dan Caroline Beaufort Frankenstein, mencipta raksasa melalui metod sains. Beliau belajar di dalam bidang kimia di University of Ingolstadt. Sejurus selepas berjaya menghidupkan makhluk ciptaannya, Frankenstein melarikan diri dalam perasaan takut dan menafikan  penyelidikannya sendiri. Dengan perasaan tersisih, takut dan tidak tahu sama sekali siapa diri sebenarnya, raksasa tersebut berusaha mencari seseorang  yang memahami dan memberinya perlindungan kepadanya.

Raksasa tersebut menemui sebuah pondok yang dimiliki oleh DeLaceys sebuah keluarga petani lalu menjadikannya sebagai  tempat persembunyian. Sewaktu mereka tidak menyedari kewujudan raksasa tersebut, dia mula belajar tentang kehidupan  dengan mendengar secara sembunyi-sembunyi terhadap perbualan mereka; dia mula merasakan mereka semacam keluarga sendiri dengan menggelar mereka sebagai ‘pelindungnya’. Dia mula belajar berkata-kata dengan mendengar keluarga tersebut mengajar anak tiri mereka yang berbangsa arab, membuatkan dia mula berilmu dan berakhlak.

Pada suatu hari, raksasa tersebut mula memberanikan diri untuk membuatkan kehadirannya diketahui. Dia memperkenalkan dirinya kepada ketua keluarga tersebut, seorang ayah yang buta.  Dia merasakan kebaikan dan penerimaan buat kali pertama dan terakhir dalam kehidupannya; lelaki buta tidak dapat melihat kehodohannya dan melayan dia sebagai seorang kawan. Namun, apabila ahli keluarga tersebut pulang, mereka merasa takut dengan kehadiran raksasa tersebut dan menghalau dia keluar. Kebingungan tetapi masih mengharap, dia menyelamatkan seorang budak perempuan yang lemas di dalam sebatang sungai. Seorang pemuda sampai dan mengucap terima kasih kepadanya dengan menembaknya di bahu. Patah hati, raksasa  tersebut membenci seluruh umat manusia dan berjanji untuk membalas dendam terhadap penciptanya, Frankenstein, kerana menghidupkan beliau ke dunia ini.

Berpandukan beberapa kertas yang dijumpainya di dalam poket pakaian yang dicuri dari bilik Frankenstein dengan pantas raksasa tersebut mencari penciptaannya. Melaluinya dia bukan sahaja menemui kedudukan Frankenstein, tetapi juga beliau mendapat maklumat mengenali asal kejadian beliau yang menyeramkan. Di dalam perjalanan ke perkampungan  Frankenstein, dia bertemu dengan seorang budak lelaki bernama William dan cuba untuk berkenalan, dengan harapan bahawa insan tidak berdosa itu menerima dia dan tidak prejudis terhadapnya. Budak lelaki tersebut amat takut lalu mengugut untuk memberitahu ayahnya, Monsieur Frankenstein, apabila makhluk tersebut mengetahui budak di hadapannya mempunyai pertalian dengan penciptanya. Lalu dibunuhnya budak tadi,  bagi menunjukkan kebenciannya terhadap umat manusia dengan menganiaya seorang gadis yang tidur berhampiran dengan meletakkan loket kepunyaan budak tersebut kepada gadis tersebut. Gadis tersebut merupakan pembantu rumah kepada keluarga Frankenstein, Justine Moritz. Gadis tersebut telah menerima hukuman gantung sehingga mati kerana  Frankenstein memutuskan untuk tidak memberitahu mengenai penyelidikannya, kerana yakin bahawa tiada sesiapa yang akan mempercayainya.

Bagi menuntut dendamnya, Frankenstein memburu makhluk tersebut, dan menemuinya di dalam gua ais yang tersembunyi. Di sana raksasa tersebut meluahkan kisahnya dan merayu  Frankenstein bagi menciptakannya pasangan supaya dia dapat lari dari manusia bersama pasangannya. Pada mulanya Frankenstein setuju namun teragak-agak sebelum sempat menyiapkan pasangan raksasa tersebut, kerana takut dengan kemungkinan membiak menjadi satu kumpulan raksasa, ( walaubagaimanapun kedua-dua ‘makhluk’ tersebut dicipta dari mayat, jadi secara teknikalnya tidak boleh menghasilkan raksasa, kemungkinan tidak boleh membiak sama sekali ) maka dia membatalkan niat dengan mencampakkan semua anggota yang telah dipisah-pisahkan itu ke dalam laut. Makhluk itu telah mengetahuinya, lalu dengan perasaan marah, makhluk tersebut bersumpah bahawa dia akan memusnahkan segala yang disayangi Frankenstein. Kata-kata terakhir makhluk tersebut sebelum melarikan diri adalah "Saya akan bersama kamu pada malam pertama kamu!"

Raksasa tersebut menunaikan janjinya dengan membunuh sahabat baik Frankenstein, Henry Clerval, dan isteri Frankenstein iaitu Elizabeth Lavenza. Ayah Frankenstein, Alphonse, kemudiannya mati dalam kedukaan. Dengan tiada sesiapa untuk hidup, Frankenstein menumpukan seluruh hidupnya memburu ciptaannya dan membunuhnya. Beliau mencari di seluruh negara, tanpa menyedari bahawa ciptaannya sedang memerhati setiap gerakannya. Pencarian tersebut berakhir di bulatan Arctic apabila  Frankenstein hilang kawalan terhadap luncur saljinya dan terjatuh ke dalam air ais yang sejuk, dan mengalami pneumonia. Beliau diselamatkan oleh anggota sebuah kapal yang mengembara, dan menceritakan kisahnya kepada kapten kapal, Robert Walton tersebut sebelum sakit dan meninggal. Makhluk  tersebut berduka apabila menyedari kematian Frankenstein, kehilangan satu-satunya ahli keluarga yang di kenalinya. Beliau bersumpah untuk lari dan membunuh diri. Dia terjun dari kapal tersebut dan tidak ditemui lagi.

3.0 Watak-watak penting dalam kisah Frankenstein

Victor Frankenstein :           
Lahir di Switzerland dalam keluarga yang kaya raya dan dihormati. Semasa kecil dia sentiasa hidup dengan penuh kasih sayang. Beliau telah mencipta The Monster iaitu raksasa yang telah memusnahkan hidupnya sendiri.

The Monster :     
Iaitu manusia raksasa hasil eksperimen yang menakutkan dan hodoh serta membawa kepada kemusnahan. Dicipta oleh Victor Frankenstein daripada gabungan pelbagai bahagian tubuh manusia. Dia sentiasa disisih oleh manusia di sekitarnya. Lalu dia meminta Victor Frankenstein mencipta raksasa perempuan sepertinya untuk dijadikan pasangannya serta mengugut dan mengancam beliau jika tidak mencipta perempuan untuknya. Dia telah membunuh semua orang yang rapat dengan Victor Frankenstein.

Elizabeth Lavenza :     
Isteri Victor Frankenstein yang asalnya ialah sepupu beliau sendiri. Isterinya telah mati dibunuh oleh The Monster kerana beliau mungkir janji untuk mencipta perempuan untuk menjadi teman The Monster tersebut.

Henry Clerval :    
Rakan baik Victor Frankenstein. Rakannya juga telah mati dibunuh oleh The Monster kerana beliau mungkir janji untuk mencipta perempuan untuk menjadi teman The Monster tersebut.

Robert Walton :  
Kapten laut yang menyelamatkan Victor Frankenstein di ais beku dalam keadan yang sakit. Victor Frankenstein telah menceritakan serta mengajar beliau apa erti cita-cita yang dikejar dan diidamkan telah tercapai tetapi akhirnya menjadi sebaliknya dan bertukar kepada kemusnahan.

4.0 Pengajaran dari kisah Frankenstein

Antara pengajaran yang didapati daripada kisah Frankenstein ini ialah:

Pertama, penghidupan semula mayat atau jasad manusia yang telah mati. Jika diteliti mengenai penghasilan The Monster yang diciptakan oleh Victor Frankenstein, yang terdiri daripada gabungan dari semua bahagian tubuh mayat manusia, lalu dicantumkan dan dihidupkan kembali menerusi teori elektriknya lalu raksasa itu telah pun mempunyai nyawa, boleh bergerak, mempunyai minda yang boleh berfikir seolah-olah mempuyai roh kembali. Kisah Frankenstein ini nampak lebih menyokong fahaman sains yang percaya manusia yang telah mati itu boleh dihidupkan semula iaitu seperti tisu-tisu yang telah mati boleh dihidupkan kembali dan bergerak seperti manusia biasa melalui arus elektrik. Melalui kisah ini, telah menunjukkan bahawa arus elektrik mampu menggerakkan dan menghidupkan jasad yang telah mati.

Kedua, otak adalah punca segala tindakan manusia. Dalam kisah Frankenstein ini, telah membuktikan bahawa otak telah mempengaruhi tindakan fizikal seseorang manusia. Dengan menggunakan kuasa elektrik, otak telah dihidupkan semula lalu seluruh jasad telah boleh bergerak. Seperti yang dialami oleh  The Monster, jika tidak dikenakan arus elektrik pada otaknya, maka segala anggota jasadnya tidak boleh bergerak dan hidup seperti manusia lain. Otak yang mati dipercayai boleh dihidupkan semula dan boleh berfikir maka kisah ini telah membuktikan bahawa otak adalah bersifat fizikal. Dengan menggunakan kuasa elektrik, otak telah dihidupkan semula lalu seluruh jasad telah boleh bergerak. Jika menurut agama Islam, otak serta mayat manusia yang sudah mati mustahil dapat dihidupkan kembali dan berfikir seperti biasa kerana rohnya sudah berpisah dengan jasadnya dari dunia ini.

Ketiga, hasil sains dari ciptaan manusia itu, telah memusnahkan manusia itu sendiri. Kegelisahan masyarakat terhadap sains ini telah diceritakan dalam kisah ini mengenai bagaimana sains itu telah memusnahkan diri manusia itu sendiri. Ini telah digambarkan di mana The Monster iaitu raksasa yang dicipta dan dihidupkan oleh Victor Frankenstein melalui teori elektriknya, telah memusnahkan kebahagiaan hidupnya dan telah membunuh semua orang yang ada hubungan kekeluargaan dengannya dan orang yang paling rapat di sisinya. Ini berlaku kerana Victor Frankenstein tidak memenuhi hasrat The Monster itu dengan mencipta seorang lagi raksasa perempuan untuk menjadi pasangan dengannya. Lalu The Monster itu mengancam dan mengugut Frankenstein dengan membunuh semua orang yang beliau sayang jika beliau tidak mahu mencipta pasangan untuknya. Oleh yang demikian, sehebat-hebat pemikiran ahli para saintis dalam sesuatu ciptaannya, pasti ada kebaikan dan manfaat, tetapi mungkin wujud juga keburukkan atau kelemahannya. Jika sesuatu hasil dari ciptaan sains tidak dikawal dengan betul, maka keburukan yang akan menimpa manusia itu sendiri.

Keempat, berlaku kerosakan etika dan moral. Walaupun dia cuba belajar untuk mendapat kasih sayang, tetapi dia masih tidak berjaya juga mendapatkannya. Apa yang dia dapat hanyalah penghinaan dan ejekan daripada orang lain kerana rupanya yang menakutkan itu. Setelah melihat penghinaan dan disisih oleh masyarakat sekeliling terhadap dirinya, maka dia meminta Victor Frankenstein mencipta perempuan sepertinya untuk dijadikan pasangannya serta mengugut dan mengancam beliau jika tidak mencipta perempuan untuknya. Tetapi Victor Frankenstein ingkar, maka dia telah membunuh semua orang yang rapat dengan beliau. Jika dilihat, ini adalah kesalahan manusia yang menghina serta menyisih The Monster itu sendiri yang menyebabkannya hilang pertimbangan kerana tidak dapat disayangi seperti manusia biasa. Manusia seharusnya menilai seseorang bukan dari rupa paras luaran sahaja tetapi juga dari aspek keseluruhan.

5.0 Kesimpulan
Novel Mary Shelly telah memaparkan kehebatan watak seorang saintis yang berjaya iaitu Victor Frankenstein. Namun di sini, Victor Frankenstein juga adalah saintis yang gagal kerana tidak bertanggungjawab menjaga dan mengasuh makhluk itu disebabkan terlalu takut dengannya. Kesalahan tidak seharusnya diletakkan kepada makhluk tersebut kerana Victor yang telah mengabaikannya. Makhluk itu tidak berniat mencipta kemusnahan, padahal dia hanya inginkan kasih sayang dan kehidupan seperti manusia biasa. Tetapi kekejaman manusialah yang membentuk kemarahan dan kebencian di dalam diri makhluk itu. Ilmu sains yang diketengahkan di dalam novel ini akhirnya telah memakan manusia itu sendiri kerana kelemahan akal manusia tidak dapat menandingi kehebatan Tuhan sebagai Pencipta yang mutlak.

Rujukan

Mary Shelley. 1979. Frankenstein. Hong Kong : Oxford University Press

Leave a Reply