Keilmuan tinggi jadi benteng kekuatan bangsa

Oleh Tuan Sidek Tuan Muda

MASYARAKAT Arab Makkah ketika dibangkitkan Rasulullah SAW adalah
daripada keturunan Nabi Ismail, anak kepada Nabi Ibrahim. Mereka pada
zaman sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW sudah beriman dengan Allah
dan mematuhi agama-Nya berdasarkan syariat Nabi Ibrahim.

Mereka mentauhid dan menyembah Allah yang Esa, tidak
menyekutukan-Nya dengan sebarang makhluk serta melaksanakan syariat-Nya
seperti sembahyang dan puasa. Mereka juga menjaga dan memelihara Kaabah
sebagai tempat suci. Begitulah orang Arab Makkah melaksanakan agama
Allah.

Dengan berlalunya zaman demi zaman, kurun demi kurun, orang
Arab mula mencampuradukkan yang betul dengan yang salah. Kebenaran yang
mereka pusakai daripada nenek moyang diadukkan dengan kebatilan yang
datang dengan tidak disedari, justeru menjadi cacat dan tercelalah
seluruh bangsa Arab.

       
 

   

Mereka diselubungi kejahilan, hanyut dan sesat
bersama orang yang terpukau dan terpedaya dengan kepalsuan. Dengan itu,
menyusup masuk syirik ke dalam masyarakat mereka dan akhirnya menyembah
berhala menjadi kebiasaan.

Mereka mula jauh daripada suluhan tauhid dan ciri agama
Allah yang sebenar. Akhirnya, selepas satu jangka masa panjang
menyeluruhlah kejahilan yang sangat sukar dihapuskan. Selepas itu,
dibangkitkan Rasulullah SAW untuk menghapus kejahilan dan membawa
cahaya ilmu pengetahuan menerangi bumi sehingga mereka kembali menjadi
bangsa yang hebat dan berjaya menguasai dunia.

Tercatat dalam Fiqh al Sirah al Nabawiyyah (al Buti 1994),
pencetus syirik menyembah berhala di bumi Makkah ialah Amru ibnu Luhay.
Ibnu Hisyam meriwayatkan, cara Amru ibnu Luhay memulakan penyembahan
berhala di Makkah.

Beliau ialah seorang saudagar. Pada satu ketika, beliau pergi ke
Syam kerana urusan perniagaan dan melalui satu kawasan yang didiami
suku Amaliq. Amru melihat mereka menyembah berhala lalu bertanya
mengenai benda yang mereka sembah itu

Suku Amaliq menjelaskan, mereka menyembah patung berhala.
Mereka sembahyang meminta hujan, hasilnya patung itu menurunkan hujan.
Mereka minta pertolongan lalu patung itu memberi pertolongan.

Amru meminta supaya diberikan kepadanya salah satu berhala
itu untuk dibawa pulang ke bumi Makkah supaya mereka menyembah seperti
disembah suku Amaliq. Mereka memberikan kepada Amru berhala yang
dinamakan Hubal. Berhala itu dibawa pulang ke Makkah dan bermulalah
episod penyembahan berhala di Makkah.

Begitulah cara bermula dan berkembangnya penyembahan berhala
di Tanah Arab. Bertukarlah keadaan asal mereka yang dulunya berada di
atas akidah tauhid pusaka daripada Ibrahim dan Ismail kepada
kepercayaan syirik dan akhirnya sampai ke peringkat sesat seperti
bangsa lain yang sesat.

   
                        

   

Al Buti dalam kitabnya itu menjelaskan, sebab utama mudahnya orang Arab
ketika itu yang berada di atas landasan benar bertukar menyembah
berhala ialah kerana ketandusan ilmu pengetahuan dan buta huruf.

Ilmu pengetahuan adalah perkara sangat penting dan mesti
dititikberatkan setiap bangsa yang ingin sejahtera dunia mahupun
akhirat. Ketika Rasulullah SAW dibangkitkan, Baginda sangat menekankan
kepentingan ilmu pengetahuan bahkan wahyu yang pertama diturun iaitu
Iqra’ (Bacalah).

Ia menunjukkan tuntutan menuntut ilmu. Ada banyak ayat
al-Quran dan hadis menerangkan mengenai pentingnya ilmu. Firman Allah
bermaksud: "Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang
mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?" (Surah al Zumar, ayat
9)

Firman Allah lagi bermaksud: "Supaya Allah meninggikan
darjat orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan
pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah
alMujadalah, ayat 11)

Begitu juga hadis Rasulullah SAW melalui sabdanya bermaksud:
"Dan sesiapa yang merentasi satu jalan untuk mencari ilmu, Allah
mempermudahkan kepadanya satu jalan ke syurga." (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi bermaksud: "Dunia adalah tempat tercela
dan semua benda di dalamnya adalah tercela kecuali zikir kepada Allah
dan segala yang mentaati Allah, orang alim dan penuntut ilmu." (Hadis
riwayat al Tirmizi)

Itulah antara ayat al-Quran dan hadis yang menjelaskan
kelebihan ilmu dan orang yang berilmu. Ilmu adalah tunggak kekuatan
sesuatu bangsa. Jatuh bangun sesuatu bangsa bergantung kepada sejauh
mana mereka berilmu dan pada masa sama mempraktikkan ilmu berkenaan.

Dengan keilmuan yang lemah, seseorang atau sesuatu bangsa
akan mudah dipermainkan oleh syaitan dan musuh Islam seperti yang
berlaku ke atas penduduk Makkah, apatah lagi di zaman moden yang penuh
mencabar ini.

Era globalisasi yang tidak mengenal batas sempadan, ajaran
sesat, pengaruh jahat dan liar, anasir buruk bertentangan dengan Islam
begitu meluas dan mudah sampai ke dalam masyarakat. Dalam masa yang
sama, ia begitu sukar untuk disekat dan dihapuskan.

Benteng pertahanannya tidak lain dan tidak bukan melainkan
keilmuan mencukupi bagi mempertahankan diri. Dengan ilmu saja dapat
dibezakan antara hak dan batil.

Benarlah pepatah Melayu yang berbunyi ‘ilmu itu pelita
hidup’. Sifat pelita yang menerangi kegelapan malam pekat samalah
dengan ilmu yang menyinari kehidupan dan menjadi pembeza antara betul
dengan salah.

Apa yang berlaku ke atas orang Arab Makkah perlulah diinsafi
dan diambil pengajaran. Mudah-mudahan ia memberikan panduan berguna
dalam membina satu masyarakat yang cemerlang dan terbilang serta
seimbang dunia akhirat. Semoga sejarah itu tidak berulang kepada kita.

Penulis ialah Pensyarah Pengajian Islam, Universiti Kuala Lumpur City Campus

Leave a Reply