Ufuk Minda: Gandingan pemimpin wibawa, pengikut peka cetus kemajuan
Bersama Dr Sidek Baba
PEMIMPIN
dan pengikut mempunyai jalur pengaruh yang saling memberi kesan.
Pemimpin yang melihat tanggungjawab kepemimpinan sebagai suatu taklif
akan sentiasa menghubungkan amanah kepemimpinan dalam semangat
khalifah.
Pengikut pula mempunyai amanah besar menentu dan membantu
supaya kepemimpinan berada di landasan yang betul. Manfaat kepemimpinan
serta pengikut dapat memberi kesan seimbang terhadap proses kemajuan
dan perubahan.
Kepemimpinan dalam masyarakat majmuk mempunyai dimensi lebih
luas. Keragaman dan kepelbagaian menuntut pendekatan bijaksana supaya
faktor penting seperti hak asasi, keadilan, kesejahteraan dijadikan
landasan.
Kepemimpinan dalam tradisi Islam harus mempunyai
kualiti ihsan dan insan. Keihsanan memberi kesan langsung hubungan
manusia dengan Allah dan keinsanan adalah tanggungjawab yang perlu
disempurnakan terhadap negara dan sistem.
Rasulullah SAW memberikan asas ihsan iaitu dalam melakukan
kerja yang bersifat ibadat walaupun kita tidak melihat Allah, tetapi
berasakan Allah sentiasa melihat kita. Asas ini dirakamkan dalam firman
Allah bermaksud: "Kemuliaan dan kecemerlangan disisi-Nya asasnya ialah
ketakwaan." (Surah al Hujurat, ayat 13)
Pemimpin berjiwa muttakin sentiasa menginsafi bahawa daya
kepemimpinan dan aktiviti kepemimpinannya sentiasa berlandaskan kepada
takwa akan cenderung menjadikan Allah sebagai pedoman, al-Quran sumber
petunjuk dan Rasulullah SAW teladan Qurani.
Asas ini memberi keyakinan kepada pemimpin bahawa Islam bukan hanya
sebagai suatu sistem kepercayaan, tetapi mencorak kehidupan secara
sistematik. Cabaran kepemimpinan Islam dilihat daripada keupayaannya
menterjemah prinsip dan ajaran murni al-Quran ke dalam realiti dan
sistem.
Pancaran akidah yang dimiliki kepemimpinan Islam tidak hanya
terlihat kepada keyakinannya terhadap Allah, tetapi terlihat dalam
kerangka membangun diri, masyarakat dan sistem yang sifatnya
memperkasa.
Membangun ilmu yang sifatnya bersepadu adalah langkah
memperkasa, menyediakan modal insan yang arif dalam hal keagamaan dan
pada masa sama pakar dalam pengurusan sistem. Aplikasi keilmuan dan
pendidikan Islam tidak saja melahirkan pemikiran besar, juga memiliki
keupayaan memperkasa ilmu bersepadu.
Keperluan umat Islam kini ialah proses keilmuan dan
pendidikan yang membuka jalan membangunkan modal insan secara seimbang.
Pendidikan mekanistik didorong kesedaran nilai dan etika Islami boleh
mencetuskan perubahan bermakna yang membimbing ke arah pembinaan
tamadun.
Globalisasi yang mendatangi umat kini memerlukan upaya penyaringan yang
tinggi disamping alternatif terbaik bagaimana penyelesaian terhadap
model Islam dapat dilakukan secara bijaksana, strategik dan
profesional.
Di sinilah perlunya wibawa pengikut yang tidak saja mampu
memilih kepemimpinan sezaman, tetapi membantu kepemimpinan melakukan
agenda kemajuan dan perubahan. Sifat Islam itu sendiri adalah dinamik
dan cenderung ke arah perubahan.
Jiwa islah dan tajdid adalah syarat penting melihat masalah
umat terkini dan memberikan jawapan yang komprehensif bagaimana
alternatif dapat diberi dan pada masa sama dukungan pengikut
membolehkan agenda pembaharuan berlaku.
Pengikut yang arif berasakan wibawa kepemimpinan penting
dalam menempatkan diri di gelanggang terpilih. Ia merujuk kepada asas
keilmuan yang baik, memiliki akhlak contoh, keupayaan menawarkan
khidmat terbaik dan mampu memikir serta mencari pendekatan terhadap
masalah kepemimpinan dan pengikut dengan bijaksana.
Ada pemimpin yang mempunyai idealisme tinggi, tetapi kurang
memahami realiti lalu hilang kebijaksanaan membangun umat. Wujud juga
kepemimpinan yang pragmatik, tetapi tandus dengan idealisme lalu hilang
arah dalam hala tuju kepemimpinan.
Umat Islam memerlukan kepemimpinan yang didukung oleh idea
segar bersumberkan al-Quran, memiliki upaya bijaksana memahami realiti
dan melakukan aktiviti kepemimpinannya dengan bijaksana serta
strategik. Kepemimpinan jenis ini amat diperlukan oleh umat masa kini.
Umat Islam memerlukan kepemimpinan yang amanah, adil, bijaksana dan memiliki teladan tinggi yang boleh dicontohi.
Begitu juga dengan pengikut supaya rasional dan bertimbang
rasa bagi menentukan perubahan serta kemajuan tetap berlaku. Gandingan
pemimpin berwibawa dan pengikut yang peka bakal merintis jalan ke arah
sinergi lebih bermakna untuk perubahan dan kemajuan.
December 30th, 2008 at 3:06 pm
M1XMvV Thanks for good post
January 4th, 2009 at 8:28 pm
Hey, I was searching blogs, and came onto yours, and I like it.
January 4th, 2009 at 8:41 pm
This blog is awesome!