Jadikan masjid destinasi pelancongan

Oleh: Ghafani Awang Teh

Menurut laporan Kementerian Pelancongan Malaysia pada tahun tahun
2007 dijangkakan seramai 20.1 juta pelancong tiba di negara kita. Dalam
tempoh itu, mereka berbelanja sebanyak RM44.5 bilion. Sebahagian besar
pelancong itu adalah dari Eropah, Jepun, Korea Selatan, Singapura,
China dan Timur Tengah.

Salah satu produk pelancongan yang berkembang pesat sekarang ialah
pelancongan keagamaan yang dikaitkan dengan pusat dan tempat sejarah
sesuatu agama.

Banyak negara yang telah melancarkan kempen tahun melawat di negara
masing-masing telah mempromosi secara besar-besaran menjadikan
pusat-pusat keagamaan sebagai salah satu destinasi pelancongan. Negara
kita pun mengambil langkah yang sama.

Kadangkala usaha menjadikan masjid sebagai destinasi pelancongan
menjadi isu negatif di kalangan masyarakat Islam. Ia berpunca daripada
fahaman bahawa kedatangan pelancong terutama yang bukan beragama Islam
boleh menjejaskan kesucian masjid yang menjadi rumah Allah itu.
Persoalan besar timbul ialah apakah hukum orang bukan Islam memasuki
masjid? Menurut pendapat dalam Mazhab Syafie orang bukan Islam dilarang
secara mutlak memasuki Masjidil Haram seperti dinyatakan dalam surah
a-Taubah, ayat 28.

Kemerduan suara muazin

Bagi masjid lain pula pada pandangan ulama Syafi’iyah adalah
diharuskan jika bertujuan baik. Ulama ini berpegang sebuah hadis sahih
yang diriwayatkan oleh Bukhari menjelaskan bahawa sekumpulan tentera
Islam yang baru kembali dari medan perang Nejad membawa seorang tawanan
perang bernama Tsumamah Utsaal dari Bani Hanifah yang ketika itu belum
beragama Islam dan mengikatnya di salah satu tiang di dalam sebuah
masjid. Kemudian Rasulullah SAW menuju kepada tawanan itu seraya
bersabda “lepaskanlah Tsumamah”. Kemudian Tsumamah berangkat menuju ke
kebun kurma berdekatan masjid dan mandi. Selepas itu Tsumamah masuk
semula ke dalam masjid sambil melafazkan kalimah dua syahadah menjadi
seorang muslim”.

Berdasarkan hadis ini, nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang
bukan Islam ke dalam masjid menjadi satu kesalahan tentu sekali
Rasulullah SAW akan menegur tindakan sahabat membawa masuk ke dalam
masjid itu.

Bagaimanapun bagi menjamin dan memelihara kesucian masjid ini, maka
pihak pengurusan masjid perlu membuat peraturan yang sesuai. Umpamanya
dimestikan menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising
serta menentukan masa-masa yang sesuai yang tidak mengganggu umat Islam
menunaikan ibadah.

Dari segi aspek pelancongan kita dapati Masjidil Haram Mekah dan
Masjid Nabawi Madinah di Arab Saudi menjadi tempat kunjungan paling
popular di dunia. Pada musim haji sahaja kira-kira 3 juta umat Islam
mengunjungi Mekah dan Madinah.

Menurut Lembaga Pelancongan Arab Saudi menjelang tahun 2020
dijangkakan seramai 45.5 juta umat Islam akan mengunjungi dua tempat
suci itu setahun dengan anggaran pendapatan sebanyak kira-kira RM76
bilion setahun. Perbelanjaan besar umat Islam ini membuka
peluang-peluang perniagaan yang besar kepada penduduk Arab Saudi.

Walaupun masjid dan tempat-tempat sejarah Islam yang ada di negara
kita tidak sehebat di Arab Saudi tetapi ia berpotensi besar untuk
menarik pelancong terutamanya orang bukan Islam menziarahi masjid dan
tempat sejarah Islam yang terdapat di negara kita.

Berdasarkan pemerhatian, perkara yang menjadi daya tarikan pelancong
terutama pelancong bukan Islam ketika melawat masjid ialah tentang
keindahan menara, seni bina masjid, mihrab, mimbar, hiasan dalaman
masjid yang tenang, tempat wuduk, peranan imam, kemerduan suara muazin,
peranan makmum dan cara umat Islam menunaikan sembahyang.

Bagi umat Islam daya tarikan ini kelihatan perkara biasa tetapi bagi
orang bukan Islam adalah sesuatu yang perlu diketahui secara mendalam
kerana nyata suasana ketenangan rumah Allah itu berbeza dengan dengan
suasana rumah ibadat agama lain.

Di sebalik kecenderungan besar pelancong bukan Islam terhadap produk
pelancongan berasaskan keagamaan ini, maka sewajarnya umat Islam
mengambil kesempatan memperluaskan pengetahuan mengenai Islam melalui
pelancongan.

Bagaimanapun bukan mudah untuk menarik pelancong datang menziarahi
masjid kecuali pihak pengurusan masjid mampu mengambil langkah-langkah
tertentu.

Memakmurkan masjid

Antara langkah utama yang sesuai ialah menyediakan maklumat
berkenaan sejarah penubuhan masjid, menyediakan senibina yang menarik,
persekitaran yang bersih dan ceria, kemudahan tandas yang selesa,
menyediakan risalah mengenai Islam dan fungsi –fungsi dalaman masjid,
menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan yang selesa, menjalankan
promosi yang luas kepada masyarakat setempat dan pelancong asing,
menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong dan menyediakan ruangan
pameran serta galeri.

Pada masa ini antara masjid yang berpotensi besar menarik pelancong
ialah masjid negeri dan masjid yang terdapat kelebihan tertentu seperti
Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya,
Masjid Terapong-Tengku Tengah Zaharah Kuala Terengganu, Masjid Kristal
Jerteh Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Kg Laut
Kelantan dan Masjid Ulu Melaka Melaka.

Bagaimanapun masjid yang paling berjaya menarik pelancong ialah
Masjid Negara. Menurut laporan Masjid Negara pada tahun 2007 terdapat
seramai 255,800 pelancong asing melawat masjid ini.

Walaupun terdapat kesukaran masjid kecil untuk menarik pelancong
asing tetapi tumpuan boleh diberi kepada usaha menarik pelancong
tempatan dan dari dalam negara sendiri. Tindakan ini sekurang-kurangnya
menyahut seruan mempelbagaikan usaha menyebarkan maklumat mengenai
Islam termasuk melalui pelancongan.

Langkah ini adalah selari dengan kempen Kerajaan yang melancarkan
Tahun Melawat Malaysia. Dengan demikian adalah menjadi satu kerugian
besar jika kita tidak mengambil ikhtiar langsung untuk menjalankan
dakwah melalui konsep pelancongan ini.

Selari dengan usaha memakmurkan masjid ini, maka marilah kita
merenungi peringatan Allah yang bermaksud, Bahawasanya yang memakmurkan
masjid ialah orang-orang yang beriman kepada Allah, hari akhirat,
mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, tidak takut melainkan kepada
Allah, maka mudah-mudahan mereka yang memakmurkan masjid itu mendapat
hidayah daripada Allah. (at-Taubah: 18)

lGhafani Awang Teh ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga,
Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Utusan Malaysia

Leave a Reply